Thursday 18 January 2018

KARANGAN SYARAHAN

SYARAHAN


                Selamat pagi dan salam sejahtera dan salam sejahtera saya ucapkan kepada saudara Pengerusi Majlis, panel hakim yang tetap berdiri di atas neraca keadilan, yamg berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru dan rakan seperjuangan sekalian. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada pagi yang penuh nostalgia ini ialah “Punca-punca Pencemaran Alam Sekitar”.

Para pendengar yang budiman,

                Kita sebagai rakyat bumi Malaysia berbesar hati melihat kemajuan yang dicapai oleh negara kita. Semakin maju dan semakin membangun. Namun begitu, dalam ‘gah’ menuju kemodenan, tanpa kita sedari alam sekitar terabai dan tercemar. Berikutan pertambahan bilangan kenderaan mengakibatkan asap tebal bermaharaja di udara. Udara tidak lagi bersih bertukar menjadi amat kotor. Selain itu, penebangan hutan secara tidak terancang turut menjejaskan alam sekitar. Penebangan hutan ini boleh membawa kepada masalah hakisan berikutan banyak pokok telah ditebang.

                Pembakaran hutan dan sampah secara terbuka merupakan satu lagi punca pencemaran alam sekitar. Asap tebal menjadikan kawasan tersebut berjerebu dan akan menjejaskan kesihatan manusia serta kehidupan flora dan fauna. Pembuangan sampah merata-rata menjadikan pemandangan alam sekitar kotor dan tidak terurus sedangkan tong sampah disediakan. Begitu juga dengan kilang-kilang yang mengeluarkan asap beracun ke udara turut menjejaskan alam sekitar. Kilang-kilang ini turut membuang sisa toksik ke dalam saliran seperti sungai. Natijahnya, sungai tersebut tersumbat, kotor dan hidupannya mati.

Sidang hadirin yang dihormati,

                Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar ini harus dipandang serius kerana akan mengancam kesejahteraan hidup manusia dan kestabilan ekologi. Langkah pencegahan dan pengawalan harus teliti dan diambil bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar berlanjutan. Sebelum mengundur diri, saya ingin memohon ampun dan maaf jika tersalah bicara.

                Sekian, terima kasih.


JENIS KARANGAN

A. Karangan Berformat

B. Karangan Tidak Berformat

1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
3. Karangan jenis Ucapan
4. Karangan jenis Syarahan/ceramah
5. Karangan jenis Dialog / Temuramah /
    Perbualan / Wawancara
6. Karangan jenis Berita
7. Karangan jenis Catatan Diari
8. Karangan jenis Laporan
9. Karangan jenis Perbahasan
10. Kad Jemputan

1. Karangan Rangsangan Bergambar /
    Rangsangan Kata
2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita /
    Gambaran / Situasi
3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
4. Karangan Jenis Perbincangan
5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
7. Karangan Jenis Peribahasa
KARANGAN SURAT KIRIMAN RASMI

Masalah sampah sarap yang sering tidak dipungut beberapa hari di kawasan anda mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk. Sebagai setiausaha penduduk, anda dikehendaki menulis surat aduan tentang masalah yang kerap berlaku.


NO. 70, Lorong A13,
Taman Maju Jaya,
75324 Seremban,
Negeri Sembilan.
_________________________________________________________________________________

Pegawai Majlis Perbandaran Seremban,
Peti Surat 36457,
75400 Seremban,
Negeri Sembilan.                                                                                            02 OGOS 2015


Tuan,

Masalah Sampah Sarap yang Sering Tidak Dipungut

Merujuk perkara di atas, saya selaku setiausaha mewakili penduduk Taman Maju Jaya ingin membuat aduan tentang masalah sampah - sarap yang sering tidak dipungut. Sampah - sarap yang dipungut di kawasan perumahan ini kebiasaannya mengikut jadual, namun sampah - sarap ini sering tidak dipungut beberapa hari sejak setahun yang lalu.

2.    Salah satu masalah yang penduduk taman ini hadapi ialah masalah pencemaran bau. Masalah ini memberi impak kepada aktiviti harian penduduk. Aktiviti riadah terpaksa tidak dijalankan kerana terganggu dengan masalah bau. Keselesaan di rumah juga terjejas seperti ketika menyediakan hidangan dan ketika makan. Secara keseluruhannya, masalah bau ini sangat memberi kesan kepada penduduk jika tidak ditangani segera.

3.    Selain itu, sampah - sarap yang sering tidak dipungut telah menimbulkan masalah keselamatan. Anjing liar yang terdapat di taman perumahan ini sering menimbulkan masalah kerana sampah - sarap yang sering tidak dipungut akan berhamburan. Ini menyebabkan keselamatan penduduk terancam apabila melakukan aktiviti di luar rumah dengan kehadiran anjing liar. Penduduk Taman Maju Jaya amat berharap masalah ini dapat dibendung dengan segera.

4.    Sehubungan dengan itu, sampah - sarap yang sering tidak dipungut akan mengundang pelbagai penyakit di taman perumahan ini. Haiwan seperti tikus dan lalat membawa masalah kepada para penduduk di taman perumahan ini. Penduduk sering risau mengenai perkara ini kerana boleh mengundang kepada pelbagai penyakit seperti penyakit kencing tikus yang boleh membawa maut dan keracunan makanan.

5.    Saya berharap pihak tuan dapat memberikan kerjasama dan membuat pemantauan di kawasan taman perumahan ini. Kami juga berharap agar masalah sampah - sarap yang sering tidak dipungut ini boleh diuruskan oleh pihak tuan dengan segera.

Kerjasama dan maklum balas daripada pihak tuan amat saya alu - alukan dan diucapkan berbanyak - banyak terima kasih.



Yang Benar,

  Sahfirah ....

( NURSAHFIRAH BINTI SAPRI )

Wakil Penduduk,
Taman Maju Jaya.

Karangan Format – Ceramah


Sempena Minggu Bahasa di sekolah,anda dikehendaki menyampaikan ceramah yang bertajuk “Langkah-langkah Meningkatkan Penguasaan Bahasa Malaysia dalam Kalangan Pelajar”.


    Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Impian Emas,guru-guru yang dikasihi dan pelajar sekalian.Selamat sejahtera saya ucapkan.Terlebih dahulu,saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk berceramah pada pagi yang berbahagia ini.Tajuk ceramah saya pada pagi ini ialah “Langkah-langkah Meningkatkan Penguasaan Bahasa Malaysia dalam Kalangan Pelajar”.

Pelajar-pelajar yang dikasihi,

    Dalam era globalisasi ini,masyarakat kini mula menganggap Bahasa Malaysia tidak begitu penting dan menyebabkan ramai orang lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.Oleh sebab itu,prestasi penguasaan Bahasa Malaysia semakin menurun.Terdapat juga golongan pelajar yang menggunakan bahasa pasar ketika bergaul.Inilah antara punca-punca penurunan prestasi Bahasa Malaysia.Oleh yang demikian,saya akan mencadangkan beberapa langkah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam Kalangan Pelajar.

    Pertama sekali ialah usaha ibu bapa.Ibu bapa perlu menunjukkan teladan baik kepada anak-anak.Hal ini demikian,anak-anak lebih cenderung mengikut perbuatan ibu bapa.Ibu bala bapa perlu menggunakan Bahasa Malaysia ketika berbual di rumah dan mengajar anak bahasa Malaysia ketika kecil bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.Anak-anak akan mula mencintai bahasa Malaysia dan akan menggunakan bahasa Malaysia ketika bergaul dan secara lansung akan meningkatkan minat pelajar dalam Bahasa Malaysia.

    Selain itu, guru-guru dan pihak sekolah juga harus memainkan peranan.Guru-guru perlu mempelbagaikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran supaya pelajar tidak bosan ketika kelas Bahasa Malaysia.Cikgu perlu memberi tip-tip untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia.Cikgu juga boleh menyediakan kelas tambahan atau tuisyen percuma untuk pelajar yang lemah.Dalam kelas tuisyen tersebut,cikgu hendaklah mengajar pelajar yang lemah secara individu.Pihak sekolah juga boleh menganjur pelbagai pertandingan atau kempen untuk menarik minat pelajar dalam Bahasa Malaysia.

Hadirin sekalian,

    Peranan pelajar sendiri juga tidak harus diabaikan dan amat penting.Pelajar perlu berusaha sendiri untuk meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Malaysia.Pelajar perlu memperbanyakkan latihan. Selain itu,pelajar juga perlu banyakkan memperbanyakan membaca buku seperti buku rujukan,novel dan sastera.Pelajar akan menemui beberapa perkataan bombastik yang tidak dikenali maksudnya.Dengan itu,pelajar akan mencari makna perkataan tersebut dan perkataan-perkataan bombastik tersebut dapat membantu pelajar dalam penulisan karangan.Pelajar perlu berani bertanya kepada cikgu jika menghadapi masalah dalam pelajaran kerana bak kata pepatah “malu bertanya sesat jalan,malu berdayung perahu hanyut”.

    Akhir kata,Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan negara kita.Kita perlu menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul kerana “Bahasa Jiwa Bangsa”.Penguasaan Bahasa Malaysia amat penting untuk melahirkan masyarakat yang arif dan bijaksana yang fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia.Sekian,terima kasih.


Tuesday 16 January 2018

KATA SERU & KATA NAMA

Latihan :KATA NAMA&KATA SERU
Isikan tempat kosong di bawah dengan kata seru yang sesuai :
__________________________________________________________________________________
Aduh         Aduhai         Amboi         wahai           Cis        Wah         Nah         Syabas             Hai       Oh          Eh

1.)    ______________, sudah lama kita tidak berjumpa !
2.)    ______________, kamu rupa-rupanya yang mengambil pensel aku !
3.)    ______________, kamu berjaya mendapat markah yang baik dalam peperiksaan Bahasa 
                                       Melayu.
4.)    ______________, malangnya nasib pemuda yang ditimpa kemalangan di jalan raya itu.
5.)    ______________, kawan-kawan, mari kita ke kantin bersama-sama!
6.)    ______________, merahnya baju awak !
7.)    ______________,  cubalah kek yang saya buat ini !
8.)    ______________, rupa-rupanya awak yang mencuri duit aku !
9.)    ______________, malangnya mangsa-mangsa di Indonesia yang ditimpa bencana bumi seperti                                       tsunami dan gempa bumi.
10.) _____________, sakitnya gigi aku !
11.) _____________, cantiknya bunga ini !
12.) _____________, berani kamu menggangu adikku !
13.) _____________, ambillah wang ini !
14.) _____________, kamu telah mengambil tempat pertama dalam pertandingan melukis itu !
15.) _____________, peningnya kepala aku ini !
16.) _____________, sakitnya perut aku ini !
17.) _____________, keluarga itu sentiasa ditimpa nasib malang!

Isi tempat kosong dengan kata tanya yang sesuai.

berapakah       mengapakah      apakah         siapa    bilakah                bagaimanakah       mana

1.      ______________________  dua orang budak perempuan itu menangis di kantin ?
2.      _______________________ jumlah gula-gula dalam botol itu ?
3.      _______________________  Roxanne boleh terjatuh ke dalam longkang ?
4.      Lagu itu ditujukan kepada _____________ ?
5.      Jelapang padi banyak terdapat di negeri ________________ ?
6.      Selepas mencuci sayur ini, _______________ langkah seterusnya ?
7.      ___________________________ kamu akan memulangkan buku rujukan saya yang kamu pinjam ?

Friday 12 January 2018

KATA ganti nama diri

Kata Ganti Nama




Latihan

Gantikan perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah dengan kata ganti nama diri yang sesuai.

1. "Kalau tiada aral melintang, kalian akan bertolak ke Pulau Pinang pada minggu depan," kata Rosli kepada Kamal. ( ------------------------ )
2. Kartini berasa sangat gembira kerana anak kita lulus dalam PMR. ( ----------------------------- )
3. "Titah Tuanku itu akan aku laksanakan dengan segera," sembah Hang Tuah. ( …………………………… )
4. "Mereka hendak pergi ke mana?" tanya Pak Abu kepada Munira dan Kamsiah. ( …………………… )
5. Zamri terpaksa pulang ke hostelnya kerana engkau terlupa hendak membawa buku itu. ( …………… )

………………………………………………………………….
Gantikan perkataan bergaris dengan Kata Ganti Nama Diri yang sesuai.

1. Siti dan Aidah pergi ke pasar. (………………………… )
2. "Suhaidah suka menonton filem jenaka," kata Suhaidah. ( ……………………. )
3. Pada cuti akhir tahun ini, abang dan kakak hendak melawat ibu di Negeri Sembilan. (……………………… )
4. "Mengapa Azmi tidak hadir dalam mesyuarat semalam?" Tanya Cikgu Azli. ( ……………………………… )
5. "Encik Kumar seorang yang suka menolong orang." kata Anis kepada Hamidah. ( …………………………… )
6. "Di manakah _______ letakkan buku latihan saya tadi?" tanya Eddy pada kawannya
7. Cikgu Hamidah ialah guru kelas saya. _____ mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.
8. Hafiz dan Yasin ialah kawan baik. ________ mempunyai kegemaran yang sama.
9. " _________ perlu makan makanan yang seimbang," kata ibu kepada anak-anaknya.
10 "_________ mahu hulubalang-hulubalang masuk mengadap," titah Sultan Mahmud kepada Bendahara Tun Perak.
11. Perompak-perompak itu berjaya melarikan diri. _________ menaiki van yang menunggu di luar kedai emas.
12. ___________ semua diwajibkan hadir menyertai kursus motivasi itu.


Kata adjektif Latihan1

40 Soalan Latih Tubi Tatabahasa | KATA ADJEKTIF


KATA ADJEKTIF

Kata adjektif ialah perkataan yang menerangkan sifat sesuatu benda, keadaan,atau perbuatan. Ada sembilan jenis kata adjektif.

Jenis Kata Adjektif

1. Kata adjektif sifatan / keadaan
Contoh: baik, tegak, gopoh, pandai, takut, sihat, lemah, kasar, jahat, licin,
garang, buas, condong
2. Kata Adjektif Warna
Contoh: hitam, putih, biru, jingga, merah, ungu
3. Kata Adjektif Ukuran
Contoh: nipis, besar, pendek, tinggi, rendah, kerdil, tebal, panjang, kecil
4. Kata Adjektif Bentuk
Contoh: kemik, leper, bujur, buncit, lurus, bulat, lekuk, bengkok
5. Kata Adjektif Jarak
Contoh: jauh, hampir, dekat, sebelah, rapat, nyaris
6. Kata Adjektif Waktu
Contoh: cepat, lambat, silam, segera, baharu,
7. Kata Adjektif Perasaan
Contoh: sayang, ragu, kecewa, gembira, rindu, marah, sayu, sedih, pilu
8. Kata Adjektif Cara
Contoh: perlahan, segera, deras, laju, lincah, sering
9. Kata Adjektif Pancaindera
Contoh: pahit, manis, busuk, tampan, merdu, payau, kelat, masin, masam,
nyaring, gemersik

Isikan tempat kosong dengan kata adjektif yang sesuai.

1 Kaki Pak Senin digigit pacat, darah __________ meleleh di kakinya.
A cair
B putih
C pekat
D merah

2 Semua seluarnya sudah menjadi __________ kerana badannya sudah berisi.
A ketat
B besar
C singkat
D longgar



 Gambar 1

Soalan 3 berdasarkan Gambar 2

3 Buah-buahan tempatan sungguh ______________ dan berpatutan pula harganya.
A kelat
B enak
C manis
D masam


4 Abdul Halim sedang mengasah sabit kelapa sawit itu kerana sudah __________.
A tajam
B kasar
C kesat
D tumpul




 Gambar 2

Soalan 5 berdasarkan Gambar 2

5 Air sungai itu __________ kerana sampah sarap dibuang ke dalamnya.
A jernih
B hitam
C kotor
D bersih

6 Pengawas lelaki itu sering membawa buku __________ di dalam poket bajunya.
A kecil
B tebal
C besar
D panjang

7 Cuaca malam ini __________ kerana petang tadi hujan turun dengan lebatnya.
A sejuk
B damai
C panas
D nyaman

8 Udara di Calet Air Panas, Pengkalan Hulu itu sungguh __________.
A baik
B cergas
C nyaman
D indah

9 __________ sungguh pemandangan hutan di kawasan Air Terjun Kuala Woh itu.
A Indah
B Muram
C Kelam
D Sayup

10 Pelajar Tahun Enam Waja sangat __________ dan hormat kepada guru-guru mereka.
A baik
B malu
C takut
D patuh

11 Marsya berasa______________semasa meraikan hari jadinya.
A pilu
B mahu
C cemas
D gembira

12 Samad menjolok buah mangga itu dengan menggunakan sebatang galah yang ________
A tinggi
B besar
C kontot
D panjang

13 Asam jawa selalu digunakan oleh emak untuk menghilangkan bau___________ikan air tawar.
A hapak
B hanyir
C tengik
D hancing

14 Penyanyi yang mempunyai suara _______________itu mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
A serak
B garau
C merdu
D nyaring

15 Roziah yang ringan mulut itu sungguh_____________dengan semua orang
walaupun dengan orang yang baru dikenalinya.
A sombong
B senang
C ramah
D kasar

16 Para pendaki Gunung Kinabalu meneruskan pendakian dalam____________ pagi tanpa berputus asa.
A kegelapan
B kedinginan
C kemalapan
D kepanasan

17 Dahi adik kelihatan ______________ kerana terhantuk pada tiang gol di sekolah.
A bengkok
B bengkak
C botak
D lekuk

18 Jalan di Bandaraya Kuala Lumpur menjadi_____________ apabila menjelang Hari Raya Aidil Fitri.
A lengang
B senyap
C muram
D suram

19 Mata Aminah ____________ kerana terkena air sabun.
A pedas
B lebam
C pedih
D panas

20 Jambatan yang _____________ itu akan dilebarkan untuk kemudahan penduduk Kampung Semangat.
A luas
B sempit
C senang
D besar

21 Tapak tangan Pak Abu _____________ selepas mencangkul tanah di kebunnya
petang tadi.
A menggelupas
B menggerutu
C melecur
D melecet

22 Nana berasa ________ apabila ternampak seekor ulat di dalam buah mangga
yang dikupasnya itu.
A geli
B haru
C kelam
D gundah

23 Itik itu mempunyai bulu yang ________ air menyebabkan bulunya sentiasa
kering walaupun berada lama di dalam air.
A kesat
B telap
C telus
D kalis

24 Pak Tamin begitu ________ memikirkan anaknya yang belum pulang, apatah
lagi hari sudah larut malam .
A terkilan
B runsing
C murung
D sengsara

25 Keadaan menjadi semakin ________ kerana kedua-dua belah pihak tidak mahu mengalah .
A pelik
B gawat
C runsing
D rencam

26 Bau ________ pada bajunya telah hilang setelah disembur dengan minyak
wangi yang ________ itu .
A busuk …tengik
B hanyir… wangi
C hapak … harum
D hancing …mersik

27 Cik Loh sangat ________ mendengar lagu yang dinyanyikan
oleh biduanita itu .
A ghairah
B asyik
C tekun
D leka

28 Durrah tergelincir semasa melalui jalan yang ________ itu .
A becak
B lembik
C lembap
D bengkok

29 Tiang-tiang elektrik di tebing itu ________ selepas berlakunya gegaran.
A serong
B bengkok
C bongkok
D condong

30 Motosikal yang dipandu laju itu ________ melanggar kereta yang
datang dari arah bertentangan .
A jauh
B cepat
C dekat
D nyaris

31Micheal Lim mengalirkan air mata kerana terlalu __________ mendengar berita tentang kemalangan itu.
A sedih
B hairan
C terkejut
D gembira

32 "Buah duku langsat itu sangat manis sekali dan __________ pula rasanya," kata Ghani.
A lazat
B busuk
C kelat
D harum

33 Budak itu lemas kerana dihanyutkan oleh arus sungai yang sangat __________.
A pantas
B cepat
C deras
D kencang

34 Kerjanya yang __________, dapat menjadikan gubahannya begitu cantik.
A teliti
B lemah
C sopan
D lembut

35 Bangunan yang __________ itu akan dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Shah Alam kerana boleh membahayakan keselamatan orang ramai.
A baru
B antik
C retak
D runtuh

36 Suasana di Kampung Teluk Penadah sungguh __________ dan tenang.
A sibuk
B damai
C serabut
D gembira

37 Kakak tidak suka akan daging kambing baunya yang ___________
A hapak
B tengik
C hamis
D haring

38 Amirul berjalan dengan __________ kerana dia hendak cepat sampai di rumahnya.
A tertib
B gopoh
C pantas
D cermat

39 Nur Hayati berasa __________ untuk berpisah dengan kawan-kawan sedarjahnya.
A pilu
B gusar
C geram
D marah

40 Kemalangan jalan raya itu berpunca daripada __________ pemandunya.
A kelajuan
B kelalaian
C keberanian

D kesibukan

KATA adjektif jarak pancaindera ukuran

[NOTA] JENIS-JENIS KATA ADJEKTIF







Kata adjektif tidak mempunyai subgolongan yang ketara, tetapi berdasar kriteria makna, kata adjektif dapat dibahagikan sekurang-kurangnya sembilan (9) kriteria, seperti berikut:

1.           Kata adjektif sifat / keadaan
  Kata adjektif sifat / keadaan ialah perkataan yang digunakan bagi
  menerangkan sifat atau keadaan sebagai unsur keterangan kepada kata      nama, seperti contoh berikut:
     Contoh perkataan:                  kuat            pintar                   nakal
                                                keras           lemah                   sihat
                                                bijak           cergas                   jahat
        Contoh ayat: 
1.    Budak nakal selalu kena marah.
2.           Dia lemah dalam matematik.
3.           Kubu pertahanan pemberontak itu amat kuat.
4.           Anak Pak Kamar bijak sekali.
5.           Peserta itu berdiri dengan cergas.



2.           Kata adjektif warna
        Kata adjektif warna sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah      perkataan yang memberi pengertian warna, seperti contoh berikut:
          Contoh perkataan:                  jingga                   perang        hitam
                                                putih           biru             kelabu
          Contoh ayat: 1.   Adik suka pakai baju hijau.
                                2.   Pakaian pelajar sekolah berwarna putih.
                                3.   Baju kesukaan saya berwarna kuning.
                                4.   Kereta merah itu kepunyaan abang.
                                5.   Dia memiliki mata berwarna biru.


3.           Kata adjektif ukuran
       Kata adjektif ukuran sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah      perkataan yang memberi pengertian ukuran, seperti contoh yang          berikut:
          Contoh perkataan:                  tebal            gemuk         panjang
                                                nipis           kurus          pendek     
                                                tinggi          rendah        kecil
          Contoh ayat:   1.  Buku tebal itu sudah saya baca.
                               2.    Anaknya masih kecil lagi.
                               3.    Badannya semakin kurus.
                               4.    Kertas nipis itu tidak boleh digunakan lagi.
                               5.    Pokok itu semakin hari semakin tinggi.


4.           Kata adjektif bentuk
       Kata adjektif bentuk sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah      perkataan yang memberi maksud rupa bentuk, seperti contoh berikut:
          Contoh perkataan:                  lurus           bulat           bujur
                                                bengkok      leper           bundar
                                                lonjong       buncit                   tajam
          Contoh ayat:   1.  Jalan lurus mudah dilalui.
                                2.   Bentuk buah kelapa itu lonjong.
                                3.   Mukanya bujur sirih.
                                4.   Pinggan leper itu untuk pinggan makan.
                                5.   Matanya tajam memandang ke hadapan.


5.           Kata adjektif waktu
       Kata adjektif waktu sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah       perkataan yang memberi pengertian konsep masa, seperti contoh yang          berikut:
          Contoh perkataan:                  kerap          awal            sering
                                                jarang                   lewat           silam
                                                baharu        dahulu        lampau
          Contoh ayat: 1.    Kedatangannya lewat hari ini.
                               2.    Dia berada di kampus sehari suntuk.
                               3.    Kenangan silam sukar dilupakan.
                               4.    Nenek masih menyimpan barang-barang lama.
                               5.    Cikgu menasihatkan kami supaya datang awal.


6.           Kata adjektif jarak
       Kata adjektif jarak sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah         perkataan yang memberi makna konsep ruang seperti contoh yang       berikut:
          Contoh perkataan:                  nyaris                   dekat
                                                hampir        jauh 
          Contoh ayat: 1.    Rumahnya tidak jauh dari Pejabat Pos.
                               2.    Universiti itu dekat dengan lebuhraya.
                               3.    Dia berdiri hampir dengan kereta saya.


7.           Kata adjektif cara
       Kata adjektif cara sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah          perkataan yang memberi pengertian keadaan kelakuan atau ragam,      seperti contoh yang berikut:
          Contoh perkataan:                  pantas                  deras           ligat
                                                lambat        gopoh                   perlahan   
                                                laju             cermat         cepat
          Contoh ayat: 1.    Kereta itu dipandu dengan laju.
                               2.    Siapa cepat dia dapat.
                               3.    Gasing itu berpusing ligat.
                               4.    Arus sungai itu sangat deras.
                               5.    Dia cermat apabila berbelanja.


8.           Kata adjektif perasaan
       Kata adjektif perasaan ialah perkataan yang digunakan sebagai unsur        keterangan kepada kata nama yang memberi pengertian atau konsep      perasaan, seperti contoh yang berikut:
          Contoh perkataan:                   kasih           takut           malu
                                                sayang        hendak        geram
                                                cinta            rindu           marah
          Contoh ayat: 1.    Dia masih marah kepada saya.
                               2.    Nenek itu terlalu kasih akan cucunya.
                               3.    Mereka amat rindu akan kampung halaman.
                               4.    Kanak-kanak itu takut akan kucing.
                               5.    Pemuda itu masih malu untuk bersuara.


9.           Kata adjektif pancaindera
       Kata adjektif pancaindera sebagai unsur keterangan kepada kata nama      ialah perkataan yang membawa konsep sentuh, dengar, pandang, bau,           dan rasa seperti contoh yang berikut:
§           Indera sentuh
            Contoh perkataan:                  lembik         kasar           licin
                                                  halus           kesat           keras
            Contoh ayat: 1.    Lantai itu licin kerana baru dicuci.
                                  2.    Kulit mukanya sangat halus.
                                  3.    Kain yang kesat itu ialah kain lap.
                                  4.    Buku itu berkulit keras.
                                  5.    Dawai kasar itu untuk dibuat ampaian.
§           Indera dengar
            Contoh perkataan:                  nyaring       lembut        mersik
                                                  merdu                   garau          serak
            Contoh ayat: 1.    Suaranya merdu bagai buluh perindu.
                                  2.    Teriakannya nyaring sungguh.
                                  3.    Kebanyakan lelaki bersuara garau.
                                  4.    Saya suka mendengar suaranya yang lembut.
                                  5.    Alunan musik itu mersik.
§           Indera pandang
            Contoh perkataan:                  comel          hodoh                   molek
                                                  cantik                   buruk                   segak
            Contoh ayat: 1.    Pemuda segak itu guru saya.
                                  2.    Kakaknya suka berpakaian cantik.
                                  3.    Rumah buruk itu tidak berpenghuni.
                                  4.    Dia ingin mengahwini pemuda tampan.
                                  5.    Pakaian pengantin itu molek sungguh.
§           Indera bau
            Contoh perkataan:                  wangi                   hanyir                   harum
                                                  busuk                   hancing       tengik
            Contoh ayat: 1.    Bunga ros itu harum baunya.
                                  2.    Bangkai ikan itu menyebabkan bau hanyir.
                                  3.    Nasi tengik itu tidak boleh dimakan.
                                  4.    Setiap hari dia memakai minyak wangi.
                                  5.    Bau busuk itu datangnya dari lori sampah.
§           Indera rasa
            Contoh perkataan:                  manis                   kelat            masam
                                                  masin                   payau                   lazat
            Contoh ayat: 1.    Setiap hari kita minum air tawar.
                                  2.    Semua orang suka makanan lazat.
                                  3.    Buah limau masam rasanya.
                                  4.    Saya tidak suka minum ubat pahit.
                                  5.    Kuih tradisional itu terlalu manis.

PERIBAHASA ting 1- ting 3

CONTOH PERIBAHASA POPULAR (Dalam Buku Teks BM) Tingkatan 1



1. Bagai aur dengan tebing/Saling bekerjasama/hidup bantu-membantu

2. Bagai menatang minyak yang penuh/Melakukan sesuatu dengan penuh berhati-hati
3. Seperti murai dicabut ekor Riuh/ bercakap tidak berhenti-henti
4. Seperti lipas kudung/Bergerak dengan pantas
5. Berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak/Melakukan satu kerja sambilan sementara menunggu hasil daripada kerja utama
6. Indah khabar dari rupa/Gambaran yang berlebih-lebihan atau tidak benar
tentang sesuatu perkara
7. Jauhari juga yang mengenal manikam/Hanya seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang
akan memahami keistimewaan sesuatu benda itu
8. Ukur baju di badan sendiri/Lakukan sesuatu yang sejajar dengan kemampuan
diri
9. Biar putih tulang, jangan putih mata/Tidak berputus asa atau pantang menyerah sehingga ke penghujung nyawa
10. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga/Jangan cuba sesuatu atau menceburi sesuatu bidang sekiranya kelengkapan diri tidak mencukupi



CONTOH PERIBAHASA POPULAR (Dalam Buku Teks BM) Tingkatan 2


1. Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain/Usaha gigih yang berterusan akhirnya akan membawa kejayaan

2. Genggam bara api biar sampai jadi arang/Jangan berputus asa atau meninggalkan sesuatu
pekerjaan itu di pertengahan jalan. Sebaliknya hadapi segala cabaran hingga berjaya

3. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan/Alang-alang melakukan sesuatu pekerjaan, lakukannya dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya

4. Bidan terjun/Seseorang yang terpaksa memikul tugas orang lain kerana desakan keadaan

5. Tangkai jering/Sangat kedekut

6. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah/Sama taraf atau darjat

7. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya/Hasil tidak mungkin diperoleh tanpa usaha

8. Seperti embun di hujung rumput/Sesuatu yang sementara atau tidak berkekalan

9. Bau-bau bacang/Persaudaraan jauh

10. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal/Menerima sesuatu pada masa yang tepat



CONTOH PERIBAHASA POPULAR (Dalam Buku Teks BM) Tingkatan 3


1. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan/Pasti ada penyelesaian bagi mereka yang benar-benar mencuba

2. Seperti ikan pulang ke lubuk/Kembali ke tempat asal

3. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran/Gagal memperoleh perkara yang dihajati manakala perkara yang dimiliki pula terlepas tangan

4. Sambil menyelam minum air/Melakukan dua kerja pada masa yang sama

5. Tiada rotan akar pun berguna/Bergantung kepada sesuatu yang kurang sempurna
kerana sumber sebenarnya tidak ada

6. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya/Darjat atau kedudukan seseorang itu tidak akan berkurangan semata-mata kerana dia merendahkan diri

7. Kalau tidak kerana angin masakan pokok bergoyang/Sesuatu perkara itu tidak akan diperkatakan orang jika tiada kebenarannya

8. Biar mati anak jangan mati adat/Sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahanakan
adat

9. Ayam tambatan/Orang kuat atau orang yang menjadi harapan

10. Otak cair/Sangat pandai

PERIBAHASA TING 1 HNGGA 3

SENARAI PERIBAHASA (PERUMPAMAAN DAN PEPATAH) YANG TERDAPAT DI TINGKATAN 1 hingga 3





1 Air beriak tanda tak dalam
Banyak bercakap tanda tiada berilmu.

2 Alang-alang berminyak biar licin
Berbuat sesuatu jangan kepalang tanggung.

3 Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
Kalau sudah terlanjur berbuat sesuatu, biarlah diperoleh hasil daripadanya.

4 Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan
Sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar (beristerikan atau bersuamikan orang kaya) atau hidup miskin di negara yang kaya dan makmur.

5 Bagai air mencari jenisnya
Berusaha untuk mencari ilmu dengan tidak berhenti-henti; usaha dengan tidak mengenal jerih payah.

6 Bagai ayam disambar helang
Mati tanpa sakit.

7 Bagai cendawan tumbuh selepas hujan
Terlalu banyak pada sesuatu masa.

8 Bagai cincin dengan permata
Pasangan pengantin yang sepadan.
Contoh ayat: Suami isteri itu sama cantik sama padan seperti cincin dengan permata.

9 Bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu
Hidup dalam kemelaratan.
Kerakap sebangsa sirih tetapi tidak dimakan orang.

10 Bagai layang-layang putus tali
Tiada berpedoman. @ sudah putus harapan,bergantung pada nasib sahaja.


11 Bagai menatang minyak yang penuh
Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.

12 Bagai minyak dengan air
Orang baik kalau duduk dengan orang jahat tidak akan menjadi jahat.

13 Bagai murai dicabut ekor
Orang yang suka bercakap.
Perempuan yang suka bercakap banyak.
Contoh ayat: Suasana di dalam kelas 3P2 riuh oleh suara Nadiah yang becok bagai murai di-cabut ekor.

14 Bagai pucuk dilancarkan
Amat cepat.

15 Bagaimana acuan begitulah kuihnya;
bagaimana contoh begitulah gubahannya Perangai anak biasanya mengikut orang yang mengasuhnya.

16 Baik membawa resmi padi daripada resmi lalang
Tidak sombong; rendah diri.

17 Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar
Sesekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.

18 Belum duduk sudah berlunjur
Belum memperoleh sesuatu yang dikehendaki, sudah bergirang hati atau gembira lebih dulu.

19 Berat mata memandang berat lagi bahu memikul
Betapa berat kita melihat kesusahan yang dialami oleh seseorang, berat lagi penderitaan itu pada orang yang menanggungnya.

20 Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak
Sementara menunggu apa yang baik, lakukan juga perkara-perkara yang berfaedah.

21 Biar jatuh terletak, jangan jatuh terhempas
Lebih baik menarik diri terlebih dahulu sebelum diberhentikan dengan tidak terhormat.

22 Biar mati anak jangan mati adat
Adat yang tidak boleh dilanggar.

23 Biar putih tulang jangan putih mata
Lebih baik mati daripada menanggung malu.

24 Carik-carik bulu ayam , lama-kelamaan bercantum juga
Perselisihan faham antara saudara-mara dan adik-beradik tidak berpanjangan, akhirnya akan berbaik semula.

25 Diam-diam ubi berisi; diam-diam besi berkarat
Orang berilmu yang berdiam diri lebih baik daripada orang diam tetapi tidak berilmu.

26 Diibaratkan sebagai condong ditumpil, lemah dianduh
Memberi pertolongan kepada orang-orang di dalam kesusahan.

27 Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan
Seseorang yang bercita-cita tinggi akan berusaha untuk mencapainya.

28 Genggam bara api biar sampai jadi arang
Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaannya.

29 Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama
Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
Setiap manusia akan dikenang kerana jasa dan budi yang telah dilakukan semasa hidupnya.

30 Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai
Hendak mengetahui sesuatu perkara bertanyalah kepada orang yang mahir tentang sesuatu perkara itu.

31 Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih
Setiap yang berkemahuan, tentu ada jalan.

32 Ibarat burung, mata terlepas badan terkurung
Tidak ada kebebasan atau kemerdekaan.
Contoh ayat: Rakyat di negara jajahan komunis itu ibarat burung,mata terlepas badan terkurung.

33 Jika ada kemenyan sebesar lutut pun, jika tidak dibakar tidak akan berbau
Kepandaian hendaklah diajarkan kepada orang lain, kerana kalau disimpan akan hilang begitu sahaja.

34 Kalau tak berada-ada tak akan tempua bersarang rendah
Tentu ada sebab yang tersembunyi menyebabkan sesuatu hal terjadi @ Setiap kejadian meninggalkan kesan.

35 Kalau tiada rotan akar pun berguna
Sesuatu perkara yang dihajatkan sekiranya tidak dapat diperolehi memadai dengan apa yang ada.

36 Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Kita tidak akan mendapat hasil jika tidak berusaha.

37 Kalau tidak kerana angin tidak akan pokok bergoyang
Kalau terjadi sesuatu hal tentu ada sebab-sebabnya.

38 Perempuan serasan, lelaki pemalu
Pegangan hidup yang tidak serupa.

39 Sebagai gembala diberi keris
Orang yang mendapat sesuatu yang tidak berguna.

40 Sekali membuka pura, dua tiga hilang berbayar
Sekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.

41 Semacam besar pacak daripada tiang
Belanja lebih besar daripada pendapatan.

42 Seperti air dalam dulang
Negeri yang aman sentosa.

43 Seperti api di dalam sekam
Kejahatan yang dilakukan secara diam-diam atau tanpa disedari

44 Seperti aur dengan tebing
Dua orang yang berkawan rapat dan saling membantu
Contoh ayat : Kita tidak boleh hidup menyendiri sebaliknya hiduplah seperti aur dengan tebing.

45 Seperti aur ditarik songsang
Pekerjaan atau perkara yang sukar diselesaikan kerana sudah tersalah jalan.

46 Seperti embun dihujung rumput
Tidak kekal

47 Seperti harimau menyembunyikan kukunya
Orang yang menyembunyikan kelebihannya.

48 Seperti hujan jatuh ke pasir
Nasihat yang tidak dihargai atau sesuatu pekerjaan yang sia-sia.
Contoh ayat: Nasihat kaunselor kepada pelajar itu tidak ubah seperti hujan jatuh ke pasir kerana kedegilannya.

49 Seperti lintah menghisap darah
Meletakkan faedah yang tinggi; menipu dengan cara lemah lembut.
50 Seperti lipas kudung Selalu bergerak dengan cepat.

51 Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya.
Contoh ayat : Sekalipun beliau bergaul dengan orang kebanyakan,namun hal itu bagai ular menyusur akal takkan hilang bisanya.

52 Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran
Terlalu tamak untuk mencari keuntungan hingga menyebabkan kehilangan sesuatu yang sudah dimiliki.

Label: Peribahasa, PT3, Tatabahasa, Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3

TING 2: Sajak Dalam Persekitaran Kata-kata

Sajak Dalam Persekitaran Kata-kata



( Baha Zain)

Rangkap 1

Tuhan yang menciptakan manusia. Dialah yang membolehkan manusia bertutur dan menerima kenyataan.

Rangkap 2

Tuhan telah mengurniakan manusia kebijaksanaan  untuk berbicara tentang apa-apa yang tergores dalam jiwanya dan apa-apa yang terfikir dalam mindanya. Manusia telah bertutur dalam pelbagai bahasa mengikut tempat dan zaman yang berbeza.

Rangkap 3

Tuhan menciptakan manusia pelbagai bangsa dan rupa fizikal. Manusia mengembara dan menghuni serata alam untuk mencari rezeki.

Rangkap 4

Unsur-unsur alam menjadi dalil bagi mengesakan Allah berpandukan Al-Quran dan hadis serta kitab-kitab terdahulu. Daripadanya juga kita memperbaiki persepsi kehidupan.

Rangkap 5

Percakapan atau ungkapan yang dituturkan dapat menambah pengetuahuan dan membuatkan manusia menghargai kewujudan diri.

Tema sajak:

Kepentingan berbahasa dan hubungan manusia dengan tuhan.

Contoh: Kebolehan berbahasa kurniaan Tuhan telah membolehkan tamadun manusia berkembang dan generasi ke generasi dan  dari satu tempat ke satu tempat.

Persoalan:

1.    Persoalan  sikap bersyukur  ke atas anugerah yang dikurniakan oleh Allah.

Contoh: Penyajak menyedari bahawa Tuhan telah mengurniakan kepada manusia kebijaksanaan untuk berbicara.

2.    Persoalan kepentingan bahasa kepada  manusia.

Contoh: Manusia telah menggunakan kebijaksanaan akal untuk mengembangkan bahasa sehingga bahasa berbeza mengikut tempat dan zaman.

3.    Persoalan sifat kesempurnaan manusia yang dianugerahkan Allah

Contoh: Manusia pelbagai bangsa dan rupa telah diciptakan oleh Allah lalu bertebaran mereka ke serata alam.

4.    Persoalan kekuasaan Allah menciptakan alam semesta

Contoh: Manusia mengakui keimanan kepada Allah dengan melihat kepada alam semesta.

5.    Persoalan peranan bahasa dalam sistem perhubungan.

Contoh: Bahasa dapat menambah pengalaman seseorang dan memahami hubungan sesama manusia dan hubungan dengan pencipta




Read 5517 times

TING 1 SAJAK : AKU

Aku

(Rosli  K. Matari)

MAKSUD SAJAK

Rangkap

Maksud

1

Penulis mendapati dirinya keseorangan tanpa ada manusia lain di pantai ini.

2

Penulis menyusuri sepanjang pantai sambil membayangkan bahawa dirinya itu Nabi Adam.

3

Digambarkan bahawa hari tersebut merupakan hari wujudnya nabi Adam iaitu manusia  pertama yang dicipta oleh Tuhan. Baginda buat pertama kalinya dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.



4

Baginda tidak pernah mendengar deruan ombak sebelum kewujudannya.

5

Baginda juga tidak pernah merasai tiupan angin.

6

Baginda juga tidak pernah mengenali dan mengetahui kewujudan hidupan laut dan tumbuh-tumbuhan di situ.

7

Baginda percaya akan kekuasaan Tuhan yang Maha pencipta kerana baginda baru sahaja dicipta.



TEMA

Kewujudan diri dan menghayati alam sekitar.  Pembaca dipupuk untuk menghayati dan menikmati alam sekitar yang memberi ketenangan jiwa serta menyedari kewujudan Tuhan.

PERSOALAN

Pemeliharaan alam sekitar.  Alam sekitar perlu dipelihara agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Kepercayaan kepada Tuhan. Manusia pertama dicipta ialah nabi Adam.
Bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan. Tuhan menciptakan dunia untuk manusia menggunakannya sebaik mungkin.
BENTUK

i.          Bebas

ii.          Terdapat tujuh rangkap

iii.         Baris-baris ayat dan rima akhir

Rangkap 1 terdapat 3 baris.  Rima akhir abc
Rangkap 2 terdapat 3 baris.  Rima akhir abc
Rangkap 3 terdapat 3 baris.  Rima akhir abc
Rangkap 4 terdapat 3 baris.  Rima akhir abb
Rangkap 5 terdapat 3 baris.  Rima akhir abc
Rangkap 6 terdapat 3 baris.  Rima akhir aab
Rangkap 7 terdapat 3 baris.  Rima akhir abb

GAYA BAHASA

Sinkope
Contoh:  kecuali diriku

Kata ganda
Contoh:  bertiup di mana-mana

Imej alam
Contoh:  laut, langit, pohon, angin, ombak.

Asonansi-perulangan vokal a
Contoh: kerana aku baru ada

Aliterasi-perulangan konsonan l
Contoh:  laut, langit dan pohon

NILAI

Percaya kepada Tuhan.
Contoh:  aku percaya Kau Pencipta.

Kesyukuran
Contoh: Aku bersyukur diciptakan oleh Tuhan dan dapat merasai nikmat yang ada di dunia.

Keinsafan:
Contoh: Adam insaf akan kebesaran dan kekuasaanTuhan

PENGAJARAN

Kita haruslah mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kita.
Kita hendaklah menjaga alam sekitar agar terpelihara keasliannya.
Kita hendaklah menginsafi diri agar tidak melakukan perkara yang membawa kemurkaan Tuhan.

Read 36229 times

TING 1 : SAJAK Kita Umpama Sehelai Daun

Kita Umpama Sehelai  Daun

Image result for daun gugur

(Smahadzir)

MAKSUD SAJAK

Rangkap

Maksud

1

Kehidupan manusia di muka bumi ini boleh diibaratkan sebagai sehelai daun. Apabila manusia dilahirkan , membesar dan menjadi dewasa, seharusnya mereka telah mampu menyumbangkan jasa untuk menerangi  kehidupan insan lain agar keluar dari belenggu penderitaan.

2

Jika kita gagal menjadi manusia yang tahu membuat jasa, maka tiadalah ruang dan peluang bagi mereka yang hidup dalam kepayahan untuk bergantung harap.

3

Kehidupan manusia ibarat sehelai daun yang akan menjadi tua dan mati. Maka janganlah kita terlalu sombong dan bangga diri dengan kelebihan yang dimiliki sehingga melupakan kesusahan hidup orang lain yang bergantung harap kepada kita.

4

Jadikanlah hidup kita seperti sehelai daun, sewaktu hidup menyumbang jasa. Malah setelah matipun, banyak jasa dan bakti kita masih dapat dimanfaatkan oleh orang lain.


TEMA

Mengamalkan sikap yang baik dalam kehidupan.

PERSOALAN

Senantiasa memberi sumbangan dan kebaikan kepada masyarakat.
Tidak kedekut dan malas untuk membantu orang lain. Hal ini akan  menyebabkan hubungan dengan masyarakat akan menjadi renggang.
Sikap angkuh dan mementingkan diri sendiri akan menyusahkan orang lain.
BENTUK

Bebas
Terdapat empat rangkap
Baris-baris ayat dan rima akhir
·         Rangkap 1 terdapat 5 baris.  Rima akhir ababc

·         Rangkap 2 terdapat 4 baris.  Rima akhir abcd

·         Rangkap 3 terdapat 5 baris.  Rima akhir abcbd

·         Rangkap 4 terdapat 3 baris.  Rima akhir abb

GAYA BAHASA

Simile
Contoh :  kita umpama sehelai daun

Personifikasi
Contoh :  tempat bercanda unggas meriang

Pengulangan baris
Contoh :  kita umpama sehelai daun

Asonansi - pengulangan vokal a
Contoh :  andai kikir jasa dan bakti

Aliterasi – pengulangan konsonan m
Contoh :  hijau menunas menyegar mata

NILAI

Nilai bertanggungjawab
Contoh: Bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang lain

Nilai prihatin
Contoh: Prihatin terhadap golongan miskin dan anak-anak yatim

Nilai kesederhanaan
Senantiasa mengamalkan sikap sederhana dalam kehidupan

PENGAJARAN

Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat
Kita mestilah prihatin terhadap golongan yang memerlukan
Kita hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang sederhana

SILA JAWAB SOALAN DI BAWAH

SOALAN
1) Apakah kepentingan daun kepada  unggas ?
2Pendapat anda, apakah kesan yang wujud dalam masyarakat jika suka berbuat jasa dan bakti?
3)Apakah nasihat penyajak kepada kita semua?
4)Apakah kelebihan ulam-ulaman dalam makanan kita?

 

SAJAK Ting 1: Sajak Kuingin Berterima kasih

Sajak Kuingin Berterima kasih Antologi KOMSAS Tingkatan 1

KUINGIN BERTERIMA KASIH
(Ihsan Noorzali) 

Maksud Sajak Rangkap 1
Penyajak berterima kasih kepada hujan yang turun membasahi bumi. Kehadiran hujan menyejukkan suasana dan jiwa manusia. Kedinginan yang dibawa mampu meredakan api kemarahan. 

Rangkap 2
Penyajak juga ingin berterima kasih dan berbakti kepada tanah yang subur. Tanah yang subur telah memberikan rezeki dan pendapatan kepada para petani. 

Rangkap 3
Penyajak juga ingin berterima kasih kepada ikan-ikan di laut kerana memberikan rezeki kepada nelayan. 

Rangkap 4
Penyajak juga berasa amat kagum atas pengorbanan para perajurit yang telah banyak berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh. Pengorbanan mereka itu mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seorang rakyat terhadap tanah air. 

Rangkap 5
Kadangkala penyajak teringin untuk menjadi sukarelawan yang dapat mengubati kedukaan  dan penderitaan mangsa peperangan. Penyajak juga berharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia betapa peperangan hanya akan menimbulkan lebih banyak kehancuran dan penderitaan.   
Rangkap 6
Penyajak berpendapat bahawa dunia akan lebih aman dan damai jika semua pihak dapat berfikir secara waras dan bersama-sama berganding bahu menuju kejayaan dan keamanan sejagat. 


Tema
Manusia yang bersyukur atas nikmat yang diterima menjadi tema kepada sajak “Kuingin Berterima Kasih” karya Ihsan Norzali. Jika semua manusia mengamalkan nilai kesyukuran, dunia akan menjadi sebuah tempat yang aman untuk didiami oleh manusia. 

Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam puisi ini, antaranya:
i.     Persoalan kepentingan hujan kepada hidupan.
Contoh: Penyajak menyatakan bahawa hujan yang turun mampu menyejukkan suasana dan jiwa manusia. 

ii.     Persoalan kepentingan berbakti kepada tanah.
Contoh: Penyajak menyatakan bahawa petani yang rajin bercucuk tanam akan memperoleh hasil yang lumayan.  

iii.    Persoalan penghargaan kepada perwira Negara.
Contoh: Penyajak menyatakan bahawa dia berasa kagum akan semangat patriotisme yang dimiliki oleh perwira negara dalam mempertahankan kedaulatan negara. 


iv.    Persoalan kesedaran untuk mengekalkan keamanan dunia Contoh : Penyajak menyatakan bahawa dunia akan menjadi tempat yang indah apabila semua orang menyedari kepentingan hidup bersama-sama dengan aman.  

BENTUK

Bebas
Terdapat enam rangkap
Baris-baris ayat dan rima akhir
·         Rangkap 1 terdapat 4 baris.  Rima akhir abcd

·         Rangkap 2 terdapat 4 baris.  Rima akhir abca

·         Rangkap 3 terdapat 5 baris.  Rima akhir abccc

·         Rangkap 4 terdapat 5 baris.  Rima akhir abcbb

·         Rangkap 5 terdapat 5 baris.  Rima akhir abcbd

·         Rangkap 6 terdapat 3 baris.  Rima akhir abc

GAYA BAHASA

Simile
Contoh:  kepada hujan bagai tetamu

Personifikasi
Contoh:  ikan-ikan yang riang

Metafora
Contoh:  darah kesetiaan

Kata Ganda
Contoh: di taman-taman keresahan hidup

Asonansi - pengulangan vokal a
             Contoh :  kepadamu pejuang negara

Aliterasi - pengulangan konsonan k
             Contoh :  sesekali kuingin kalungkan kagum

NILAI

Mengenang jasa
Contoh:  mengenang jasa pejuang negara.

Keinsafan
Contoh:  perang menyebabkan kerosakan kepada manusia dan alam.

Kesetiaan
Contoh: pejuang setia kepada negara.

Kesyukuran
Contoh: mensyukuri nikmat pemberian Tuhan.

PENGAJARAN

Kita hendaklah mengenang jasa mereka yang telah berjuang untuk negara.
Kita haruslah mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kita.
Kita hendaklah sanggup berjuang demi negara tercinta.

LATIHAN:

copyLInk :

https://docs.google.com/presentation/d/144Fg_hIfMXczLA0RYcljqkEOTZAAKg4M3x6RVNvaeVs/edit?usp=sharing


SOALAN TRIAL SAINS KOMPUTER

  KOLEKSI SOALAN TRIAL SAINS KOMPUTER